AJK UMNO BAHAGIAN SIK

Wednesday, March 31, 2010

ISTERI MANTAN MENTERI BESAR KEDAH MENINGGAL

Innalillahiwa inna illahirroji un.

Isteri Tan Sri Osman Aroff, Datin Sri Azizah telah menginggal dunia sebentar tadi  Dalam 2 jam lagi mayatnya akan di bawa balik ke rumah Tan Sri Osman Aroff di Jalan Menteri off Jalan Sultanah, Alor Setar.

Semoga Allah menghimpunkan Allahyarham bersama orang-orang yang Berjaya di Akhirat, InsyaAllah.

Lapuran terperinci akan menyusul.




Friday, March 26, 2010

Anggota Parlimen Hulu Selangor Meninggal Dunia


26 Mac, 2010 00:46 AM
Anggota Parlimen Hulu Selangor Meninggal Dunia
KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Ahli Parlimen PKR Hulu Selangor Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia di kediamannya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras,Kajang, kira-kira 9.27 malam Khamis akibat barah otak, demikian menurut adiknya Md. Hambali Ahmad.

Zainal Abidin, 71, meninggalkan isteri Datin Siti Zaharah Mohd Zin dan empat orang anak.

Beliau memenangi kawasan Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya umum Mac 2008 di atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Selangor ketika dalam UMNO.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor pada 1999, Zainal pernah menjawat jawatan exco negeri, antaranya Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Penyelidikan dan Pengerusi Jawatankuasa Perjawatan, Pendidikan dan Sumber Manusia.

Zainal Abidin adalah seorang ahli akademik sebelum menceburi dunia politik sepenuh masa.

Dilahirkan di Cheras pada 10 Oktober 1939, beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Tinggi Kajang (1961-1968) dan kemudiannya Pengetua, Sekolah Menengah Kuala Kubu Baru dari 1972-1973, sebelum dilantik sebagai pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1974.

Zainal yang mendapat Doktor Falsafah Sains Politik dari University of California, Los Angeles, pada 1980 pernah menjadi Dekan, Fakulti Pendidikan UKM sebelum meninggalkan dunia akademik dan menyertai politik pada 1989.

Dalam UMNO, Zainal Abidin pernah menjadi Pengerusi, cawangan UMNO Cheras (1987) serta pernah mengetuai UMNO Bahagian Hulu Langat untuk beberapa penggal.

Zainal Abidin menyertai PKR pada tahun 2005 dan menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti itu bagi penggal 2007/2010.

Zainal turut aktif dalam pelbagai pertubuhan dan pernah menjawat jawatan seperti Pengerusi Persekutuan Pelajar Melayu, Pengerusi Majlis Pemuda Hulu Langat dan Naib Presiden Persatuan Olahraga Amatur Selangor.



Semasa dalam UMNO, Zainal memenangi tiga penggal berturut-turut kerusi Dewan Undangan Negeri Dusun Tua atas tiket Barisan Nasional (BN), pada pilihan raya umum 1990, 1995 dan 1999.

Pilihan raya umum ke-11 pada 2004, Zainal digugurkan daripada menjadi calon.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Zainal membuat kejutan dengan merampas kerusi selamat BN di Hulu Selangor daripada penyandang Datuk G.Palanivel yang juga merupakan Timbalan Presiden MIC, dengan majoriti tipis 198 undi.

Sementara itu, anak kedua allahyarham Azri Zin, 36, berkata ayah sempat meninggalkan pelbagai pesan dan nasihat kepada anak-anaknya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Tiga lagi anaknya ialah Azura, 37, Aznizah, 29 dan Azizah, 25.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau kehilangan seorang rakan seperjuangan yang sanggup mengambil risiko bersama-sama PKR dalam keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

"PKR bersedih atas kehilangan ahli akademik ini dan takziah kepada keluarga," katanya kepada pemberita ketika mengunjungi rumah allayarham.

Jenazah dijangka disembahyangkan di Masjid Batu 10, Cheras, di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka, Batu 9, Cheras, kira-kira pukul 11 pagi esok.

-- BERNAMA

Tuesday, March 23, 2010

JKM lulus bantuan warga emas




KAMPUNG BARU NAMI - Belum sampai sehari kisah warga emas, Taib Teh, 94, tersiar , pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) segera turun padang bagi meluluskan permohonan Bantuan Orang Tua (BOT) untuknya, semalam.

Pengarah JKM Negeri Kedah, Zulkifli Ramli, berkata, pihaknya meluluskan bantuan bulanan sebanyak RM300 bagi meringankan beban yang ditanggung warga emas itu, bermula dari bulan Mac.

Menurutnya, dengan tindakan itu, sekurang-kurangnya dapat membantu golongan yang memerlukan seterusnya dapat membela kebajikan golongan yang patut menerima bantuan.

“Difahamkan, pihak JKM tidak menerima sebarang permohonan bantuan atas nama Taib Teh, seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian semalam, namun setelah diperiksa, didapati warisnya pernah mengemukakan permohonan kepada jabatan lain.

“Namun kami berterima kasih dengan penyaluran maklumat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, Mohd Tajudin Abdullah, dan pihak sinar sendiri, sekurang-kurangnya dapat mengatasi masalah ini dengan segera,” katanya.

Zulkifli berkata, warga emas itu juga layak sekiranya berminat untuk mendiami rumah orang tua kerana dia tinggal bersendirian, setelah kematian isteri dan tidak mempunyai anak.

Sementara itu, anak saudara warga emas berkenaan, Khalijah Ahmad, 65, berkata, dia belum bersedia menyerahkan bapa saudaranya kepada mana-mana rumah kebajikan kerana ingin menjaganya.

“Selagi saya masih hidup dan mampu menguruskan keperluan hariannya, saya akan berusaha memastikan kebajikannya terjaga. Namun jika berlaku sesuatu, terpulang kepada pihak jabatan untuk mengambil tanggungjawab itu.

“Di kesempatan ini, kami sekeluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, terutamanya JKM, wakil rakyat, dan pihak terlibat kerana sudi memberi perhatian seterusnya meluluskan bantuan itu,” katanya.

Khalijah berkata, sekurang-kurangnya, dengan bantuan bulanan itu, dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan bapa saudaranya, seperti ubat-ubatan dan makanan harian.

“Sebelum ini, segala perbelanjaan menguruskannya ditanggung kami, walaupun kadangkala tidak mencukupi kami terpaksa berjimat,” katanya.

Turut hadir, Mohd Tajudin Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM, Halijah Yahaya.

Sunday, March 14, 2010

Ramai lagi pemimpin PKR akan keluar parti

 

Adun Lunas: Ramai lagi pemimpin PKR akan keluar parti

KULIM, 14 Mac — Sekurang-kurangnya 10 lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah dan lain-lain negeri didakwa akan keluar parti itu dalam tempoh terdekat ini.
Adun Lunas Bebas, Mohd Radzhi Salleh berkata beliau begitu optimistik dengan perkembangan itu memandangkan apa yang berlaku dengan PKR kebelakangan ini.
Beliau berkata pucuk pimpinan parti itu kini semakin jelas menampakkan tembelang mereka yang lebih mementingkan diri sendiri daripada anggota, penyokong parti dan orang ramai.
Bercakap kepada pemberita selepas berceramah di majlis penerangan isu-isu semasa bersama lebih 300 Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Parlimen Kulim/Bandar Baharu, di sini,hari, katanya beliau sendiri akan menyertai Umno dalam tempoh terdekat ini.
Mengenai dakwaan kalangan pemimpin pembangkang bahawa tindakan beliau itu adalah kerana telah dibeli oleh Umno, beliau menafikannya dan menegaskan wang ringgit bukanlah menjadi ukuran beliau keluar parti.
Mohd Radzhi juga menggesa pemimpin pembangkang di Kedah supaya menghentikan kempen “Bajet PR Kedah 2010” yang kini sedang rancak diadakan di seluruh negeri, yang cuba mengaburi pemikiran dan mata rakyat dengan kisah-kisah retorik dan angan-angan yang mustahil itu.
Hadir sama di majlis tersebut dan menyampaikan elaun kepada Pengerusi dan Setiausaha JKKKP itu ialah Anggota Majlis Tertinggi Umno yang juga Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.
Terdahulu Abdul Aziz dalam ucapannya mengulangi pelawaan beliau kepada Adun dan Ahli Parlimen PKR yang telah mengisytiharkan diri mereka sebagai anggota Bebas supaya menganggotai Umno sebagai platform yang lebih berkesan untuk mereka berkhidmat kepada rakyat. — Bernama

Sunday, March 7, 2010

PKR Kedah Mula Goyah, Dakwa Ahmad Bashah


06 Mac, 2010 17:58 PM

ALOR SETAR, 6 Mac (Bernama) -- Kedudukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri Kedah juga semakin goyah apabila ramai penyokong dan pemimpin parti berkenaan berhasrat keluar parti, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata mereka tidak berpuas hati dengan pengurusan parti berkenaan serta kecewa dengan pelbagai masalah yang melanda parti itu.

"Ramai yang mengeluh tidak puas hati dengan corak kepimpinan dan permasalahan yang tidak pernah padam dalam pemimpin parti itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Skuad Sayang' Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Alor Setar, di sini, pada Sabtu.

Ahmad Bashah berkata setakat ini tidak ada wakil rakyat PKR yang berjumpa dengan beliau atau mana-mana pemimpin UMNO bagi menyatakan hasrat untuk meninggalkan parti tersebut.

"Yang ada hanyalah penyokong dan pemimpin di beberapa peringkat yang mahu meninggalkan PKR dan saya ingin tegaskan bahawa tindakan mereka keluar daripada PKR atas kerelaan sendiri dan bukan dipengaruhi oleh UMNO," katanya.

Ditanya mengenai penafian Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Lunas, Mohd Radzhi Salleh bahawa beliau telah menyertai UMNO, Ahmad Bashah berkata sehingga sekarang wakil rakyat itu tidak pernah memohon menyertai UMNO.

"Beliau masih lagi wakil rakyat bebas yang menyokong Barisan Nasional dan sekiranya beliau berhasrat menyertai UMNO, maka beliau perlu membuat permohonan secara rasmi dan mengikut peraturan yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata UMNO bersedia membuka pintu kepada mana-mana pemimpin dan wakil rakyat parti lain yang berhasrat untuk bersama dalam perjuangan UMNO.

-- BERNAMA

Wednesday, March 3, 2010

Anggota Parlimen Bagan Serai Keluar PKR


03 Mac, 2010 14:53 PM


KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima tamparan apabila kehilangan seorang lagi anggota Parlimen setelah anggota Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri, mengumumkan keluar parti itu pada Rabu.

Mohsin Fadzli, 65, turut mengumumkan peletakan semua jawatannya dalam PKR serta menjadi anggota Parlimen bebas berkuatkuasa serta-merta.

Pengumuman Mohsin Fadzli itu menjadikan tiga anggota Parlimen parti itu keluar parti dalam tempoh kurang sebulan selepas Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru) dan Tan Tee Beng (Nibong Tebal).

Mohsin Fadzli berkata tindakan beliau itu adalah kerana hilang keyakinan terhadap perjuangan dan matlamat politik PKR dan gagasan Pakatan Rakyat khususnya dalam mengembalikan kedudukan politik dan kedaulatan Islam di negara ini.

"Saya sangat khuatir dengan aktiviti dan kegiatan politik yang diamalkan oleh PKR dan Pakatan Rakyat khususnya peringkat negeri Perak akhir-akhir ini yang sangatlah membimbangkan.

"Aktiviti politik yang menghalalkan pelbagai cara demi suatu matlamat yang sempit, serangan tanpa batasan terhadap semua institusi negara seperti institusi Diraja, badan kehakiman dan penguatkuasaan, termasuk meraih sokongan negara luar menyerang kedaulatan negara," katanya membacakan kenyataan dua muka surat pada sidang media di sini.

Mohsin Fadzli berkata pendirian PKR berhubung isu kalimah Allah tidak boleh diterimanya kerana beranggapan perbuatan itu umpama menghalalkan perbuatan mensyirikkan kalimah Allah.

Beliau juga kecewa dengan kepalsuan rancangan "16 Sept" Pakatan Rakyat untuk mengambilalih pucuk pimpinan negara yang mendakwa 30 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) akan lompat parti.

Selain dari itu, katanya parti itu dilihat mengamalkan politik "ghonimah" atau "rampasan perang" di mana kuasa, kedudukan dan habuan menjadi rebutan di kalangan pemimpin parti sehingga mengorbankan matlamat perjuangan untuk umat, rakyat dan agama.

"Perbuatan khianat, tikam belakang, sabotaj dan budaya politik fitnah memfitnah semakin menjadi parah dalam parti sehingga menyebabkan saya tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai anggota Parlimen yang diamanahkan oleh Allah," kata Mohsin Fadzli.

Beliau juga mendakwa beberapa kali membangkitkan masalah itu dalam saluran dalaman parti tetapi tiada tindakan positif diambil menyebabkan keadaan menjadi semakin parah.

Dalam sidang media yang turut dihadiri bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Sallehudin Hashim, Mohsin Fadzli berkata tugas dan tanggungjawabnya sebagai anggota Parlimen turut dikhianati dan disabotaj oleh anggota parti sendiri.

"Bukan sahaja saya tidak diberi sebarang pembelaan, sebaliknya saya diaibkan dan dicemuh di khalayak ramai, dan yang paling malang, mereka yang khianat dan tidak amanah ini diberi pangkat, jawatan dan kedudukan dalam pentadbiran kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat dan dalam parti," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi malahan menganggap Ketua Pembangkang itu seperti adiknya sendiri.

"Namun, hubungan akrab dan peribadi tidak boleh menjadi alasan untuk mengetepikan akidah dan prinsip perjuangan yang saya yakini," katanya.

Ketika ditanya adakah beliau bersedia untuk dikritik oleh anggota parti dan penyokongnya, Mohsin Fadzli berkata beliau sentiasa bersedia dan membiarkan rakyat untuk menilai tindakannya itu.

Selain Mohsin Fadzli, Zahrain dan Tan, bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin turut meninggalkan parti itu.

Mohsin Fadzli, Zahrain dan Tan tidak bercadang menyertai mana-mana parti manakala Mohammad Fairus telah menyatakan hasrat menyertai UMNO.

Isnin lepas, Salehuddin meramalkan seramai 10 anggota parlimen parti itu akan keluar parti dalam masa terdekat.

Di PETALING JAYA, 12 anggota Parlimen PKR pada Rabu menyuarakan sokongan penuh mereka terhadap parti itu sekaligus menyelar spekulasi keluar parti seperti yang didakwa dalam laman-laman blog.

Anggota Parlimen Teluk Kemang Datuk Kamarul Baharin Abbas yang mewakili anggota-anggota Parlimen tersebut berkata kesemua mereka masih berpegang teguh terhadap pucuk kepimpinan parti itu.

"Kami mengambil ketetapan sekeras-kerasnya menolak dakwaan bahawa kami akan meninggalkan parti sepertimana yang dispekulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab semata-mata untuk mengganggu kesatuan dan perpaduan dalam parti," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Tropicana pada Rabu.

Pada sidang media itu, 10 anggota parlimen hadir manakala dua lagi iaitu Anggota Parlimen Kelana Jaya Gwo-Burne Loh dan N.Gobalakrishnan dari Padang Serai tidak hadir kerana masing-masing mempunyai urusan di luar kawasan.

Mereka yang turut hadir Ahmad Kassim (Kuala Kedah), Yusmadi Yusoff (Balik Pulau), S.Manikavasagam (Kapar), Datuk Rashid Din (Merbok), Azan Ismail (Indera Mahkota), Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan), Abdullah Sani Abdul Hamid (Kuala Langat), Ab Aziz Ab Kadir (Ketereh) dan Amran Ab Ghani (Tanah Merah).

Mengulas mengenai tindakan anggota yang keluar parti, Kamarul Baharin berkata kemungkinan ia disebabkan masalah peribadi yang tidak dimaklumkan kepada pimpinan parti.

"Saya tak menduga kemungkinan itu (masalah peribadi) menjadi tugas kepimpinan parti untuk ambil tahu. Tapi kalau masalah berkaitan dengan parti, saya ingat parti tidak mengabaikan tanggungjawab," katanya.

Sementara itu, Yusmadi berkata PKR perlu melihat dan memperbaiki segala kesilapan memandangkan tindakan keluar parti sering berlaku.

-- BERNAMA

Tuesday, March 2, 2010

77 ahli PKR, Pas masuk UMNO


PERMATANG PAUH 27 Feb. - Seramai 77 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti menyertai UMNO selepas mengisytiharkan keluar daripada kedua-dua parti berkenaan.
Borang keahlian UMNO diserahkan oleh ketua kumpulan itu, Saiful Hassan kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang.
Hadir sama menyaksikan majlis itu ialah Naib Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman; Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dan Ketua Pemuda UMNO negeri, Norman Zahalan.
Bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR cawangan Guar Jering, Fakhrul Che Umar dalam ucapannya berkata, keputusan itu dibuat kerana tidak lagi yakin dengan kepimpinan PKR.
''Kami sudah bosan dengan pertelingkahan dan percanggahan dalam PKR," katanya pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Guar Jering, di sini hari ini.
Bekas Bendahari PKR cawangan Gaur Jering, Hesabudin Md. Isa pula berkata, kepincangan dalam parti pembangkang disebabkan sikap pemimpinnya yang hanya pandai berjanji.