AJK UMNO BAHAGIAN SIK

Tuesday, May 11, 2010

UMNO Terus Kekal Meneraju

UMNO Terus Kekal Meneraju

May 7th, 2010 | By administrator | Category: Rencana & Pendapat
Tanggal 11 Mei 2010, genap 64 tahun parti keramat UMNO dilahirkan. Parti yang telah banyak menabur jasa. Melahirkan pejuang-pejuang tulen yang berkorban jiwa dan raga, keringat dan air mata demi mempertahankan maruah dan martabat agama, bangsa dan tanahair.
Semangat perjuangan memartabatkan maruah orang Melayu bersemarak apabila British mengisytiharkan kertas putih mengenai rancangan Malayan Union pada 22 Januari 1946. Tindakan biadap dan tidak menghormati perasaan orang Melayu oleh British mencetuskan segala-galanya.

Gagasan Malayan Union harus ditentang habis-habisan. Orang Melayu tidak rela melihat Tanah Melayu menjadi tanah jajahan takluk British.
Kesabaran orang Melayu jangan diambil mudah. Jangan dijolok sarang tebuan!
Kuasa raja-raja Melayu perlu dipertahan. Malayan Union mahu menghapuskan kuasa raja-raja Melayu. Malayan Union mahu memberi rakyat asing hak sama rata dengan rakyat tempatan. Kemarahan orang-orang Melayu memuncak dan membara.
Ledakan daripada semangat itu, satu kongres tergempar diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946 untuk mengumpulkan kekuatan Melayu mencabar British yang begitu tidak sensitif mengemukakan Gagasan Malayan Union. British harus diajar. Mereka perlu tahu orang Melayu, pantang dicabar. Jangan diusik!
Kongres itu dihadiri wakil dari 41 pertubuhan Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu dan dalam kongres itu juga dicadangkan satu pertubuhan Melayu dengan tujuan menyatupadukan orang Melayu.
Susulan itu, dalam bulan yang sama, dua lagi kongres diadakan iaitu pada 30 dan 31 Mac 1946 di Pejabat Akhbar Majlis di Kuala Lumpur dan di Rumah Persatuan Penang Peranakan, Batu Road, Kuala Lumpur.
Tiga bulan selepas kongres pertama di Kelab Sultan Sulaiman, orang-orang Melayu membuktikan komitmen untuk bersatu padu menentang Malayan Union.
Sejarah tercatat. 64 tahun yang lalu, di Istana Besar Johor, di Johor Bahru pada 11 dan 12 Mei 1946, parti keramat UMNO secara rasmi ditubuhkan. UMNO menyatupadukan orang Melayu yang bertekad untuk menentang Malayan Union.
Pada mulanya UMNO dicadangkan oleh Dato’ Onn Jaafar dengan nama “ Pertubuhan Melayu Bersatu” atau “ United Malays Organisation’. Bagaimanapun Tuan Za’aba mencadangkan ditambah perkataan “kebangsaan’ atau “national’ selepas perkataan “Pertubuhan’. Akhirnya kongres bersetuju untuk menamakan “ Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu’ (PEKEMBAR) atau “United Malays National Organisation’ (UMNO).
Setelah penubuhan UMNO, orang Melayu menunjukkan semangat perpaduan yang amat memberangsangkan. Mereka bergerak dalam satu nada melawan Malayan Union. Perjuangan menentang Malayan Union mendapatkan sokongan paling padu.
Dalam tempoh dua tahun Malayan Union dapat dihapuskan, kemudian digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan secara rasmi pada 1 Februari 1948.
Perjuangan UMNO tidak terhenti di situ. Sandiwara British perlu ditamatkan. Walaupun Persekutuan Tanah Melayu telah dikembalikan kuasa di di negeri masing-masing kepada Raja-raja Melayu, tetapi British masih menjajah.
Mereka masih berkuasa dalam pentadbiran dan mengaut segala hasil kekayaan sumber asli. Orang-orang Melayu diketepikan tanpa mendapat apa-apa pembelaan. UMNO tidak rela melihat martabat bangsanya diperkotak-katikkan. Perjuangan membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah British harus digerakkan seperti mana menentang Malayan Union.
UMNO harus mempelopori pula perjuangan memerdekakan Tanah Melayu. Orang Melayu tidak mahu lagi dijajah. Cukuplah penderitaan dan penghinaan yang diterima sejak mula dijajah seawal 1511.
Pada 24 dan 25 Mac 1951, Majlis Mesyuarat Agung Setengah Tahun UMNO di Hotel Majestic, Kuala Lumpur meluluskan usul yang dikemukakan oleh wakil Pemuda supaya slogan “Hidup Melayu’ diganti dengan “ Merdeka’.
Tunku Abdul Rahman Putra selaku Yang DiPertua UMNO sebelum meluluskan cadangan tersebut dengan tegas menyatakan:
“ Lima tahun dahulu kita sama-sama meruntuhkan ”Malayan Union’, maka sekarang ini kita akan robohkan pula “Persekutuan Tanah Melayu’ ini yang tidak berguna langsung dan kita akan dirikan kemerdekaan bagi bangsa kita.”
Kerajaan British, apabila menyedari UMNO sudah mula bergerak dan bersatu ke arah memperjuangkan agenda menuntut kemerdekaan, mensyaratkan kemerdekaan tidak akan diberi sekiranya negara ini masih dalam keadaan darurat dan tidak ada kerjasama dan persefahaman antara kaum.
UMNO bijak mengatur strategi. UMNO bersungguh-sungguh mahukan negara ini bebas merdeka. Apa sahaja halangan akan dirempuh. Bumi tercinta ini perlu Merdeka!
Dengan kerjasama MCA, serta kejayaan besar UMNO/Perikatan dalam pilihanraya 1955, British akhirnya terpaksa akur di atas tuntutan UMNO.
Akhirnya tarikh keramat kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu dipersetujui pada 31 Ogos 1957.
Perjuangan dan jasa UMNO tidak terhenti setakat menentang Malayan Union dan memerdekakan Tanah Melayu. Selepas menikmati kemerdekaan, UMNO sebagai tonggak parti perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional menumpukan perjuangan untuk mengisi kemerdekaan dan mempertahankan serta meninggikan martabat bangsa, agama dan tanah air.
Ladang-ladang getah dan kelapa sawit dibuka untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat. Pelbagai program pembangunan dalam ekonomi, pendidikan, agama, dan sebagainya dirancang secara sistematik dan strategik.
Institusi yang berkait rapat dengan pembangunan rakyat seperti RISDA, FELDA, FELCRA, MARA dan sebagainya diwujudkan.
Mengimbau penubuhan UMNO 64 tahun yang lalu, pastinya tidak ada sesiapa yang dapat menolak hakikat betapa besar jasa dan pengorbanan yang parti itu telah lakukan untuk menjadikan Malaysia negara yang bermaruah dan rakyatnya memiliki jati diri unggul.
Ahli-ahli UMNO kini melebihi tiga juta. Sebuah parti politik tertua dan terunggul di dunia, tidak ada sebuah parti politik di dunia yang dapat menandingi rekod pencapaian UMNO. Mendapat kepercayaan rakyat untuk terus menerus memerintah dalam kesemua 12 pilihan raya umum.
UMNO harus terus dipertahankan. UMNO tetap terus relevan. UMNO mesti terus menjadi parti peneraju.
Semoga Allah sentiasa memberi laluan yang mudah, mengurniakan rahmat, memberkati dan memelihara serta memberi kekuatan kepada UMNO, parti yang begitu banyak berjasa memartabatkan maruah bangsa, agama dan tanahair

Dari:
UMNO Online

Thursday, May 6, 2010

Pilihan Raya Kecil Sibu Mungkin Saksikan Pertandingan Tiga Penjuru


04 Mei, 2010 13:54 PM
Pilihan Raya Kecil Sibu Mungkin Saksikan Pertandingan Tiga Penjuru
SIBU, 4 Mei (Bernama) -- Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu pada 16 Mei ini setakat ini nampaknya akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Pegawai Pengurus Pilihan raya Wong See Meng memberitahu pemberita di sini pada Selasa, setakat ini dua set kertas pencalonan telah diambil, satu oleh seorang wakil calon Barisan Nasional Robert Lau Hui Yew dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) manakala satu set lagi diambil oleh calon Bebas.

"Calon DAP Wong Ho Leng yang dipilih oleh pakatan pembangkang Sarawak untuk bertanding masih belum datang ke pejabat saya untuk mengambil kertas pencalonan," katanya.

Terdahulu Wong menghadiri taklimat yang disampaikan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar kepada para pegawai, pilihan raya dan mereka yang terlibat dalam pilihan raya kecil itu.

Pilihan raya kecil ke-11 sejak pilihan raya umum pada 2008 itu, diadakan berikutan kematian Anggota Parlimen Sibu selama lima penggal Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April di Kuala Lumpur akibat kanser hati.

Sementara itu, Wong berkata sebanyak 45 pusat pengundian akan diadakan dengan yang terkecil di SJK(C) Kai Nang di Ensurai dengan 143 pengundi berdaftar.

"Pusat pengundian terbesar ialah di Tadika Taman Rajang dekat sini dengan kira-kira 3,484 pengundi berdaftar.

Pusat pengundian paling jauh ialah SK Sungai Rasau, kira-kira sejam setengah perjalanan menaiki bot panjang yang mempunyai kira-kira 300 pengundi berdaftar," katanya.

Wong berkata pusat penamaan calon dan penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Suarah Sibu.

Kerusi Palimen Sibu mempunyai kira-kira 54,695 pengundi berdaftar termasuk 2,537 pengundi pos.

Mereka termasuk 5,740 Melayu (10.5 peratus), 36,389 Cina (66.7 peratus), 12,050 Iban (22.1 peratus), 54 India (0.01 peratus) dan kaum lain 289 (0.53 peratus).

-- BERNAMA

Friday, April 30, 2010

Anggota MCA Sabotaj



29 April, 2010 20:32 PM
Sabotaj Anggota MCA Antara Punca Sokongan Pengundi Cina Merosot
KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Unsur sabotaj di kalangan anggota MCA merupakan antara faktor menyebabkan kemerosotan sokongan pengundi Cina kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor, Ahad lalu.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata unsur sabotaj itu berlaku ketika beliau turun padang ke pekan Kuala Kubu Baharu pada hari pengundian dan mendapati tiada ahli dari dua cawangan MCA di situ membantu meraih undi di pusat pengundian di situ.

"Ia mungkin menjadi salah satu faktor kerana sekiranya mereka tidak datang dan membantu, saya fikir mereka juga tidak mengundi kepada BN," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis presiden di Wisma MCA di sini.

Berikutan insiden itu, Dr Chua telah mengarahkan setiausaha agung parti Datuk Seri Kong Cho Ha, yang juga ketua penyelaras MCA pusat bagi pilihan raya kecil itu, menyiapkan satu laporan dan analisis berkaitan keputusan pilihan raya kecil tersebut.

Katanya parti itu akan membincangkan tindakan susulan selepas menerima laporan itu dalam tempoh masa tiga minggu.

BN merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor apabila calonnya P.Kamalanathan menang dengan majoriti 1,725 undi, menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim.

Pada pilihan raya umum terakhir pada 2008, 35 peratus masyarakat Cina menyokong BN tetapi merosot kepada 28 peratus pada pilihan raya kecil itu.

Dr Chua juga berkata satu sesi sumbang saran akan diadakan pada 18 hingga 20 Jun ini di Port Dickson bagi membincangkan beberapa isu berkaitan perjuangan parti khususnya persediaan untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

"Kami akan menjemput beberapa orang yang terkenal dalam bidang tertentu untuk membincangkan termasuk isu ekonomi, bagaimana kita boleh menjayakan kempen pilihan raya dengan lebih efektif," katanya.

Sesi itu juga akan dimanfaatkan untuk memastikan masyarakat Cina memahami gagasan 1Malaysia dan menyokong pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) bahawa MCA sebenarnya telah ditolak pengundi Cina sejak pilihan raya umum 2008 lalu, Dr Chua berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berhak berkata apa sahaja.

Sebelum ini Dr Chua menyalahkan kewujudan pertubuhan seperti Perkasa dan pemimpinnya Datuk Ibrahim Ali, yang didakwa kurang sensitif, menyebabkan calon BN tidak disokong pengundi Cina.

-- BERNAMA

Thursday, April 29, 2010

Mesyuarat Cawangan UMNO Bermula Sabtu


28 April, 2010 18:58 PM
Mesyuarat Cawangan UMNO Bermula Sabtu
KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Semua cawangan UMNO di seluruh negara akan mengadakan mesyuarat agung masing-masing dalam tempoh bermula Sabtu ini dan berakhir 15 Jun.

Mesyuarat itu dijangka menggunakan senarai anggota yang terkini selepas proses pemutihan senarai itu selesai dijalankan, kata Setiausaha Kerja UMNO Datuk Abdul Rauf Yusoh.

Mengikut data, bilangan anggota UMNO di 19,235 cawangan sehingga Oktober lepas ialah 3,478,393 orang.

Abdul Rauf berkata setiap cawangan dan bahagian telah diarah mengadakan proses pemutihan dan menggugurkan nama ahli yang telah meninggal dunia atau yang tidak lagi menyokong parti.

Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan pula meminta semua ketua cawangan dan ahli jawatankuasa bahagian yang akan merasmi dan memantau mesyuarat-mesyuarat cawangan kelak supaya menjelaskan isu-isu semasa berkaitan kerajaan dan parti itu.

"Saya minta mereka juga dapat memberi penjelasan mengenai Gagasan 1Malaysia, Model Ekonomi Baru, program-transformasi kerajaan di samping betapa UMNO serius untuk melakukan pembaharuan termasuk dengan melaksanakan program Juara Rakyat," katanya.

Beliau juga berharap mesyuarat di peringkat cawangan itu akan membincangkan mengenai cara menangani tohmahan pembangkang selain mengatur program penerangan yang lebih bersepadu untuk memberi penjelasan terbaik bagi isu-isu yang dibangkitkan oleh pembangkang.

"Saya cadangkan Biro Penerangan setiap bahagian, selepas ceramah pembangkang, adakan pula ceramah berhampiran tempat itu untuk menjelaskan balik isu-isu yang dibangkitkan mereka. Kalau tidak orang di kawasan itu akan sangka apa yang disebut pembangkang itu adalah benar," katanya.

Mesyuarat peringkat cawangan akan diikuti dengan persidangan perwakilan bahagian serta sayap Wanita, Pemuda dan Puteri dalam tempoh bermula 16 Jun dan berakhir 16 Julai sebelum Perhimpunan Agung dari 28 hingga 30 Okt nanti.

-- BERNAMA

Saturday, April 24, 2010

PERHIMPUNAN RAKYAT!!!!




Tarikh : 24hb April 2010 (Sabtu)
Masa  :  9.00 malam
Tempat : Perkarangan Apartment Kenanga Taman Bunga Raya Bukit Beruntung

Tema:  1MALAYSIA, LEGASI DAN HARAPAN BANGSA

Tetamu: 
1.  YAB DATO' SERI NAJIB TUN RAZAK

2.  YG BERBAHAGIA TUN DR MAHATHIR MOHAMMAD

3.  CALON BN, P KAMALANATHAN

Anjuran:  Persatuan Penduduk Taman Bunga Raya, NGO-NGO dengan kerjasama Kelab Penyokong 1Malaysia.

Kepada Rakyat Raja yang sayangkan Malaysia sila hadir beramai-ramai ke sana sebagai tanda sokongan kita kepada Parti Barisan Nasional aka Parti Perikatan.

Tuesday, April 20, 2010

GAMBAR-GAMBAR TERKINI KONTINJEN BN KEDAH DI PRK HULU SELANGOR

SILA LAYARI:


Gambar-gambar sepanjang tempoh kontinjen jentera Barisan Nasional Kedah boleh di lihat melalui UMNO Kedah Facebook(sila klik link di atas).

Friday, April 16, 2010

Kamalanathan Calon Terbaik BN Di Hulu Selangor

15 April, 2010 20:49 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Rata-rata pemimpin Umno menyambut baik pengumuman Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menamakan Ketua Penerangan MIC P. Kamalanathan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pengumuman Kamalanathan itu memberi peluang kepada BN untuk merampas semula kerusi Parlimen Hulu Selangor itu.

"Kita merasa gembira kerana diumumkan Kamalanathan adalah calon BN di Hulu Selangor. Ini adalah baik dan mereka (Kamalanathan dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim) sama-sama merupakan orang baru. Jadi peluang adalah 50-50.

"Saya rasa gembira dan bersemangat untuk turun berkempen," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Khamis.

Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno pula berkata pemilihan Ketua Penerangan MIC itu adalah pilihan yang tepat.

"Pada kita dalam Umno, itulah calon kita dan kita terima. Kita terima siapa saja yang dipilih oleh pucuk pimpinan. Saya rasa beliau seorang berpengalaman dan kita yakin kita ada harapan untuk menang.

"Saya nak ingatkan bahawa walaupun ada orang kata calon dari Parti Keadilan Rakyat Zaid Ibrahim adalah satu nama besar dan pernah jadi Menteri Kabinet, tapi kita kena ingat dalam pilihan raya nama yang besar sahaja tidak menjanjikan kemenangan," kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bagi memastikan calon yang dipilih itu menang, semua pihak dan jentera parti tidak perlu lagi mempersoalkan soal calon tersebut.

"Saya percaya rakyat di Hulu Selangor melihat kepada kepimpinan negara, soal apa yang Perdana Menteri lakukan, soal apa yang Perdana Menteri akan lakukan akan datang. Itu yang perlu kita lihat," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata pakatan PKR-DAP-PAS telah bersedia untuk berhadapan dengan calon BN itu dalam pilihan raya kecil itu.

Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran kematian Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR pada 25 Mac lepas akibat barah otak dan penamaan calon ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabtu ini.

Di KUALA LUMPUR, Naib Presiden MIC Datuk Dr S. Subramaniam berkata kemahiran dalam bidang komunikasi dan teknologi maklumat merupakan kekuatan Kamalanathan untuk menawan hati penduduk di Hulu Selangor.

"Sebagai pemuda yang berpendidikan tinggi, serta aktif dalam MIC di seluruh negara, saya yakin kelebihan ini dapat mewujudkan perhubungan yang lebih baik dengan rakyat," katanya di sini malam ini.

Subramaniam, yang juga Menteri Sumber Manusia, berkata jentera BN perlu bekerja kuat memandangkan masa berkempen yang singkat untuk meliputi kawasan Parlimen Hulu Selangor yang besar selain Kamalanathan yang masih baru di kawasan itu.

-- BERNAMA