AJK UMNO BAHAGIAN SIK

Thursday, May 6, 2010

Pilihan Raya Kecil Sibu Mungkin Saksikan Pertandingan Tiga Penjuru

Posted on 12:45 AM by Detguaq


04 Mei, 2010 13:54 PM
Pilihan Raya Kecil Sibu Mungkin Saksikan Pertandingan Tiga Penjuru
SIBU, 4 Mei (Bernama) -- Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu pada 16 Mei ini setakat ini nampaknya akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Pegawai Pengurus Pilihan raya Wong See Meng memberitahu pemberita di sini pada Selasa, setakat ini dua set kertas pencalonan telah diambil, satu oleh seorang wakil calon Barisan Nasional Robert Lau Hui Yew dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) manakala satu set lagi diambil oleh calon Bebas.

"Calon DAP Wong Ho Leng yang dipilih oleh pakatan pembangkang Sarawak untuk bertanding masih belum datang ke pejabat saya untuk mengambil kertas pencalonan," katanya.

Terdahulu Wong menghadiri taklimat yang disampaikan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar kepada para pegawai, pilihan raya dan mereka yang terlibat dalam pilihan raya kecil itu.

Pilihan raya kecil ke-11 sejak pilihan raya umum pada 2008 itu, diadakan berikutan kematian Anggota Parlimen Sibu selama lima penggal Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April di Kuala Lumpur akibat kanser hati.

Sementara itu, Wong berkata sebanyak 45 pusat pengundian akan diadakan dengan yang terkecil di SJK(C) Kai Nang di Ensurai dengan 143 pengundi berdaftar.

"Pusat pengundian terbesar ialah di Tadika Taman Rajang dekat sini dengan kira-kira 3,484 pengundi berdaftar.

Pusat pengundian paling jauh ialah SK Sungai Rasau, kira-kira sejam setengah perjalanan menaiki bot panjang yang mempunyai kira-kira 300 pengundi berdaftar," katanya.

Wong berkata pusat penamaan calon dan penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Suarah Sibu.

Kerusi Palimen Sibu mempunyai kira-kira 54,695 pengundi berdaftar termasuk 2,537 pengundi pos.

Mereka termasuk 5,740 Melayu (10.5 peratus), 36,389 Cina (66.7 peratus), 12,050 Iban (22.1 peratus), 54 India (0.01 peratus) dan kaum lain 289 (0.53 peratus).

-- BERNAMA

No Response to "Pilihan Raya Kecil Sibu Mungkin Saksikan Pertandingan Tiga Penjuru"

Leave A Reply