AJK UMNO BAHAGIAN SIK

Wednesday, March 3, 2010

Anggota Parlimen Bagan Serai Keluar PKR

Posted on 4:21 PM by Detguaq


03 Mac, 2010 14:53 PM


KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima tamparan apabila kehilangan seorang lagi anggota Parlimen setelah anggota Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri, mengumumkan keluar parti itu pada Rabu.

Mohsin Fadzli, 65, turut mengumumkan peletakan semua jawatannya dalam PKR serta menjadi anggota Parlimen bebas berkuatkuasa serta-merta.

Pengumuman Mohsin Fadzli itu menjadikan tiga anggota Parlimen parti itu keluar parti dalam tempoh kurang sebulan selepas Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru) dan Tan Tee Beng (Nibong Tebal).

Mohsin Fadzli berkata tindakan beliau itu adalah kerana hilang keyakinan terhadap perjuangan dan matlamat politik PKR dan gagasan Pakatan Rakyat khususnya dalam mengembalikan kedudukan politik dan kedaulatan Islam di negara ini.

"Saya sangat khuatir dengan aktiviti dan kegiatan politik yang diamalkan oleh PKR dan Pakatan Rakyat khususnya peringkat negeri Perak akhir-akhir ini yang sangatlah membimbangkan.

"Aktiviti politik yang menghalalkan pelbagai cara demi suatu matlamat yang sempit, serangan tanpa batasan terhadap semua institusi negara seperti institusi Diraja, badan kehakiman dan penguatkuasaan, termasuk meraih sokongan negara luar menyerang kedaulatan negara," katanya membacakan kenyataan dua muka surat pada sidang media di sini.

Mohsin Fadzli berkata pendirian PKR berhubung isu kalimah Allah tidak boleh diterimanya kerana beranggapan perbuatan itu umpama menghalalkan perbuatan mensyirikkan kalimah Allah.

Beliau juga kecewa dengan kepalsuan rancangan "16 Sept" Pakatan Rakyat untuk mengambilalih pucuk pimpinan negara yang mendakwa 30 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) akan lompat parti.

Selain dari itu, katanya parti itu dilihat mengamalkan politik "ghonimah" atau "rampasan perang" di mana kuasa, kedudukan dan habuan menjadi rebutan di kalangan pemimpin parti sehingga mengorbankan matlamat perjuangan untuk umat, rakyat dan agama.

"Perbuatan khianat, tikam belakang, sabotaj dan budaya politik fitnah memfitnah semakin menjadi parah dalam parti sehingga menyebabkan saya tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai anggota Parlimen yang diamanahkan oleh Allah," kata Mohsin Fadzli.

Beliau juga mendakwa beberapa kali membangkitkan masalah itu dalam saluran dalaman parti tetapi tiada tindakan positif diambil menyebabkan keadaan menjadi semakin parah.

Dalam sidang media yang turut dihadiri bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Sallehudin Hashim, Mohsin Fadzli berkata tugas dan tanggungjawabnya sebagai anggota Parlimen turut dikhianati dan disabotaj oleh anggota parti sendiri.

"Bukan sahaja saya tidak diberi sebarang pembelaan, sebaliknya saya diaibkan dan dicemuh di khalayak ramai, dan yang paling malang, mereka yang khianat dan tidak amanah ini diberi pangkat, jawatan dan kedudukan dalam pentadbiran kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat dan dalam parti," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi malahan menganggap Ketua Pembangkang itu seperti adiknya sendiri.

"Namun, hubungan akrab dan peribadi tidak boleh menjadi alasan untuk mengetepikan akidah dan prinsip perjuangan yang saya yakini," katanya.

Ketika ditanya adakah beliau bersedia untuk dikritik oleh anggota parti dan penyokongnya, Mohsin Fadzli berkata beliau sentiasa bersedia dan membiarkan rakyat untuk menilai tindakannya itu.

Selain Mohsin Fadzli, Zahrain dan Tan, bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin turut meninggalkan parti itu.

Mohsin Fadzli, Zahrain dan Tan tidak bercadang menyertai mana-mana parti manakala Mohammad Fairus telah menyatakan hasrat menyertai UMNO.

Isnin lepas, Salehuddin meramalkan seramai 10 anggota parlimen parti itu akan keluar parti dalam masa terdekat.

Di PETALING JAYA, 12 anggota Parlimen PKR pada Rabu menyuarakan sokongan penuh mereka terhadap parti itu sekaligus menyelar spekulasi keluar parti seperti yang didakwa dalam laman-laman blog.

Anggota Parlimen Teluk Kemang Datuk Kamarul Baharin Abbas yang mewakili anggota-anggota Parlimen tersebut berkata kesemua mereka masih berpegang teguh terhadap pucuk kepimpinan parti itu.

"Kami mengambil ketetapan sekeras-kerasnya menolak dakwaan bahawa kami akan meninggalkan parti sepertimana yang dispekulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab semata-mata untuk mengganggu kesatuan dan perpaduan dalam parti," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Tropicana pada Rabu.

Pada sidang media itu, 10 anggota parlimen hadir manakala dua lagi iaitu Anggota Parlimen Kelana Jaya Gwo-Burne Loh dan N.Gobalakrishnan dari Padang Serai tidak hadir kerana masing-masing mempunyai urusan di luar kawasan.

Mereka yang turut hadir Ahmad Kassim (Kuala Kedah), Yusmadi Yusoff (Balik Pulau), S.Manikavasagam (Kapar), Datuk Rashid Din (Merbok), Azan Ismail (Indera Mahkota), Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan), Abdullah Sani Abdul Hamid (Kuala Langat), Ab Aziz Ab Kadir (Ketereh) dan Amran Ab Ghani (Tanah Merah).

Mengulas mengenai tindakan anggota yang keluar parti, Kamarul Baharin berkata kemungkinan ia disebabkan masalah peribadi yang tidak dimaklumkan kepada pimpinan parti.

"Saya tak menduga kemungkinan itu (masalah peribadi) menjadi tugas kepimpinan parti untuk ambil tahu. Tapi kalau masalah berkaitan dengan parti, saya ingat parti tidak mengabaikan tanggungjawab," katanya.

Sementara itu, Yusmadi berkata PKR perlu melihat dan memperbaiki segala kesilapan memandangkan tindakan keluar parti sering berlaku.

-- BERNAMA

No Response to "Anggota Parlimen Bagan Serai Keluar PKR"

Leave A Reply