AJK UMNO BAHAGIAN SIK

Tuesday, March 23, 2010

JKM lulus bantuan warga emas

Posted on 2:08 AM by Detguaq




KAMPUNG BARU NAMI - Belum sampai sehari kisah warga emas, Taib Teh, 94, tersiar , pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) segera turun padang bagi meluluskan permohonan Bantuan Orang Tua (BOT) untuknya, semalam.

Pengarah JKM Negeri Kedah, Zulkifli Ramli, berkata, pihaknya meluluskan bantuan bulanan sebanyak RM300 bagi meringankan beban yang ditanggung warga emas itu, bermula dari bulan Mac.

Menurutnya, dengan tindakan itu, sekurang-kurangnya dapat membantu golongan yang memerlukan seterusnya dapat membela kebajikan golongan yang patut menerima bantuan.

“Difahamkan, pihak JKM tidak menerima sebarang permohonan bantuan atas nama Taib Teh, seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian semalam, namun setelah diperiksa, didapati warisnya pernah mengemukakan permohonan kepada jabatan lain.

“Namun kami berterima kasih dengan penyaluran maklumat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, Mohd Tajudin Abdullah, dan pihak sinar sendiri, sekurang-kurangnya dapat mengatasi masalah ini dengan segera,” katanya.

Zulkifli berkata, warga emas itu juga layak sekiranya berminat untuk mendiami rumah orang tua kerana dia tinggal bersendirian, setelah kematian isteri dan tidak mempunyai anak.

Sementara itu, anak saudara warga emas berkenaan, Khalijah Ahmad, 65, berkata, dia belum bersedia menyerahkan bapa saudaranya kepada mana-mana rumah kebajikan kerana ingin menjaganya.

“Selagi saya masih hidup dan mampu menguruskan keperluan hariannya, saya akan berusaha memastikan kebajikannya terjaga. Namun jika berlaku sesuatu, terpulang kepada pihak jabatan untuk mengambil tanggungjawab itu.

“Di kesempatan ini, kami sekeluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, terutamanya JKM, wakil rakyat, dan pihak terlibat kerana sudi memberi perhatian seterusnya meluluskan bantuan itu,” katanya.

Khalijah berkata, sekurang-kurangnya, dengan bantuan bulanan itu, dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan bapa saudaranya, seperti ubat-ubatan dan makanan harian.

“Sebelum ini, segala perbelanjaan menguruskannya ditanggung kami, walaupun kadangkala tidak mencukupi kami terpaksa berjimat,” katanya.

Turut hadir, Mohd Tajudin Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM, Halijah Yahaya.

No Response to "JKM lulus bantuan warga emas"

Leave A Reply