AJK UMNO BAHAGIAN SIK

Wednesday, February 3, 2010

Kedah lancar program jejak pengundi

Posted on 12:04 PM by Detguaq

Oleh OPAT RATTANACHOT

SUNGAI PETANI 2 Feb. - Biro Daftar Pemilih Badan Perhubungan UMNO Kedah akan menganjurkan program jejak pengundi bagi mendaftarkan lebih 24,000 ahli UMNO di seluruh negeri ini sebagai pengundi, bermula bulan ini.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, program yang melibatkan semua ahli jawatankuasa peringkat bahagian itu adalah sebahagian persediaan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
"Melalui program itu, Biro Daftar Pemilih di negeri ini akan meneliti senarai anggota yang belum berdaftar sebagai pengundi untuk dihubungi secara serta-merta bagi memastikan mereka terus didaftarkan sebagai pemilih.
"Di Kedah, kita masih ada lebih 24,000 ahli yang belum daftar. Jumlah ini termasuk ahli Pemuda dan Puteri yang sudah cukup 21 tahun dan layak mengundi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Seminar Hala Tuju UMNO Bahagian Sik dan pelancaran blog milik Ketua UMNO Bahagian Sik, Mohd. Tajuddin Abdullah di Pantai Merdeka, dekat sini baru-baru ini.
Menurut Ahmad Bashah, UMNO Kedah juga bersetuju melantik Mohd. Tajuddin sebagai Pengerusi Biro bagi memantapkan lagi kerja-kerja mendaftar pengundi tersebut.
"Mohd. Tajuddin akan bertindak menyusun strategi dan menyelaraskan semua 15 UMNO Bahagian di negeri ini bagi mempercepatkan lagi usaha mendaftar pengundi," katanya.
Beliau berkata, semua bahagian diminta supaya mendaftarkan ahlinya sebagai pengundi secepat mungkin.
"Kita tidak menetapkan tempoh, bagaimanapun perkara ini perlu dilakukan secepat mungkin bagi membolehkan mereka mengundi sekiranya pilihan raya kecil atau umum diadakan pada bila-bila masa," katanya.
Sementara itu, Mohd. Tajuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek berkata, pihaknya telah menggerakkan kerja-kerja mendaftar pemilih bermula pertengahan bulan lalu.
"Buat masa ini, seramai 3,000 ahli berjaya didaftarkan sementara bakinya akan dibuat secara berperingkat," katanya.
Beliau memberitahu, setiap UMNO Bahagian juga akan mempunyai seorang pengurus daftar pemilih bagi menyemak dan mengesan ahli-ahli serta pengundi baru untuk didaftarkan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Dalam perkembangan lain, Mohd. Tajuddin berkata, pelancaran blog miliknya iaitu onesik.blogspot.com bertujuan menyebarkan maklumat berguna dan aktiviti yang dijalankan pihaknya untuk tatapan umum.
"Selain itu, blog ini juga akan menjadi platform bagi rakyat khususnya generasi muda menyalurkan sebarang permasalahan dan cadangan untuk diselesaikan saya selaku wakil rakyat dan pemimpin UMNO Bahagian Sik," katanya.

No Response to "Kedah lancar program jejak pengundi"

Leave A Reply