AJK UMNO BAHAGIAN SIK

Wednesday, April 7, 2010

Mukhriz Sangsi Projek Mega Kerajaan Kedah Di Yan

Posted on 1:44 AM by Detguaq


06 April, 2010 14:53 PM
Oleh Zainal Abdul Jalil

SINTOK, 6 April (Bernama) -- Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir sangsi dengan projek Sungai Limau Hidrokarbon Hub (SULIHH) di Yan yang membabitkan pelaburan sebanyak RM35 bilion (AS$10 bilion) yang dicanangkan kerajaan Kedah.

Beliau berkata kerajaan pusat tidak melihat SULIHH dapat direalisasikan kerana perbincangan yang menjurus ke arah itu antara kerajaan Kedah dan MITI tidak pernah berlaku.

"Sebarang projek yang dianggap besar atau mega di peringkat negeri sudah tentu membabitkan MITI atau agensinya, MIDA (Lembaga Kemajuan Pelaburan) supaya keputusan pelaksanaannya berjalan lancar," katanya dalam interbiu eksklusif dengan Bernama di sini.

Mukhriz yang juga anggota Parlimen Jerlun ditemui Bernama selepas merasmikan majlis makan malam Dewan Penginapan Pelajar Kolej EON Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, Isnin malam.

SULIHH ialah projek penapisan minyak di kawasan laut yang ditambak di Sungai Limau, Yan. Minyak mentah dari Timur Tengah akan diimport dan diproses untuk dieksport semula ke China dan negara Asia lain apabila loji tersebut siap.

Kerajaan Kedah menyasarkan meraih RM400 juta setahun dalam bentuk cukai dari projek itu yang dijadualkan siap pada 2014 mengikut perancangan awal selain menawarkan pekerjaan kepada 30,000 orang.

Majlis pecah tanah projek itu dijadualkan Oktober tahun lepas, tertangguh beberapa kali kerana laporan kesan terhadap alam sekitar (EIA) yang dikemukakan pelabur kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak lengkap.

Terbaru, pada Rabu lepas, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak memberitahu pemberita majlis pecah tanah projek itu yang kali terakhir ditetapkan bulan lepas ditunda pada akhir tahun dan bermakna tempoh siap dijangka pada 2015.

Alasan beliau ialah laporan EIA terbaru yang dikemukakan pelabur sekali lagi ditolak JAS selain satu dari tiga pelabur asing -- Hong Kong Beijing Star Ltd., Winson Investment Ltd. dan SK Engineering and Construction Ltd. dari Korea, menarik diri.

Dua syarikat tempatan yang menjadi tunjang projek tersebut ialah Merapoh Resources Corporation Sdn Bhd dan Hijjaz Refinery Sdn Bhd, dikatakan menjana modal pelaburan luar untuk melaksanakannya.

Mukhriz berkata perkembangan ini menambah kesangsian beliau kerana apa saja projek mega yang dirancang atau dilaksanakan kerajaan negeri tentu diketahuinya tetapi projek ini tiada langsung dalam senarai MITI.

MIDA biasanya akan terlibat secara langsung dengan sebarang projek besar sama ada diperoleh atas inisiatif kerajaan negeri atau pusat, katanya.

"MITI sentiasa mempromosi seluruh negara dalam misi menarik pelaburan asing dan kerajaan pusat tidak pilih kasih atau membezakan negeri yang diperintah Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang," katanya.

Menurut Mukhriz apa jua projek yang dianggap mega mesti ada perancangan di peringkat nasional kerana ia memberi kesan secara langsung kepada negara dan penting bagi memastikan ia dijayakan sebaik mungkin.

"Saya gembira sekiranya kerajaan Kedah berjaya merealisasikan projek ini tetapi untuk membuat andaian perancangan pembangunan negeri disandar pada punca yang belum pasti hanya mampu mengaburi rakyat.

Kerajaan pusat sendiri tidak akan mengumumkan sebarang projek yang belum tentu boleh dilaksanakan atau membuat janji yang tidak boleh penuhi," kata Mukhriz yang menyifatkan SULIHH sebagai janji mustahil.

"Saya tidak mahu mempolitikkan isu ini supaya tidak wujud persepsi negatif kerana MITI sentiasa bersedia membantu negeri yang ada idea yang dapat melonjak ekonomi negeri atau negara," tambahnya.

Beliau berkata mana-mana pelabur asing yang hendak melabur akan melihat suasana politik negara, pembangunan ekonomi, kemampuan membekalkan tenaga berkemahiran tinggi selain mereka akan meminta pelbagai insentif dari kerajaan pusat.

Beliau menambah kerajaan negeri yang membuat promosi menarik pelaburan asing wajar memaklumkan kepada agensi pusat iaitu MIDA supaya ada koordinasi kerana agensi itu yang akan memberi khidmat penyelarasan.

Sehubungan itu, Mukhriz memberi jaminan MITI bersedia kerjasama dengan kerajaan Kedah dan mengatasi sebarang kemusykilan kerana antara KPI kementerian adalah memastikan pelaburan asing yang masuk ke negara ini meningkat tinggi.



-- BERNAMA

No Response to "Mukhriz Sangsi Projek Mega Kerajaan Kedah Di Yan"

Leave A Reply